Perkara Berkaitan Mandi wajib

Melewatkan Mandi Wajib

Mandi wajib boleh ditunda dari malam sehingga siang. Dengan itu, pasangan yang berjimak boleh melewatkan untuk mandi wajib sehingga pagi dan mengerjakan mandi wajib sejurus sebelum mengerjakan solat subuh, tetapi pasangan itu disunatkan berwuduk sebelum tidur jika ingin melewatkan mandi wajib mereka hingga ke pagi.

Orang yang melewatkan mandi wajibnya juga tidak membatalkan puasa dan boleh terus berpuasa, dan puasanya tetap sah selagi mana dia tidak membatalkan puasanya.

Seseorang itu boleh melewatkan mandi wajib sebelum solat. Setelah masuk waktu solat, ia wajib mandi sebelum boleh menunaikan solat.

Ragu-ragu

Jika seorang yang mengerjakan solat tetapi ragu-ragu sama ada dia sudah mandi wajib atau belum, maka seluruh solat yang telah dikerjakannya (selama itu) adalah tidak sah, dan untuk solat-solat berikutnya, dia harus menunaikan mandi wajib dahulu, barulah solatnya dianggap sah.

Ketiadaan air (atau mudarat tidak boleh terkena air)

Menurut Syeikh al-Islam Ibn Taimiyah rh. (Majmu' Fatawa, 21/396) jika terdapat sebab untuk melakukan tayammum, seperti ketiadaan air, atau tidak dapat menggunakannya akibat sakit, maka tayammum akan menggantikan wuduk dan mandi wajib. Maka seseorang yang junub hendaklah bertayammum lalu bersolat, kemudian apabila ada air (diperbolehkan menggunakan air untuk yang mudarat), maka hendaklah mandi menghilangkan janabahnya tersebut.

Daripada Imraan ibn Hussain ra. "bahawa Rasulullah saw melihat seorang lelaki yang menjauhkan diri dan tidak bersolat dengan kaumnya, maka baginda berkata : Ya siFulan, apa yang menghalang kamu dari tidak bersolat dengan kaummu? Dia menjawab : Ya Rasulullah, saya dalam keadaan junub, dan tiada air. Baginda berkata : Kamu hendaklah menggunakan tanah yang bersih, kerana ia mencukupi untukmu..... di dalam riwayat lain Nabi saw menjumpai air dan memberinya kepada orang yang telah menjadi junub tersebut, dan berkata : pergilah siram ini keatas dirimu." [Hadith riwayat al-Bukhari #344 dan #348].